The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

AWAY KIT 2025/26 “SFC GREEN GOALS”

Oct 17, 2025 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) secara rasmi melancarkan jersi kedua atau Away Kit 2025/26 secara digital di semua platform rasmi media sosial Selangor FC.

Bertemakan “From the Pitch to the Planet”, jersi ini bukan sekadar pakaian di atas padang tetapi lambang perubahan dan kesedaran bahawa bola sepak mampu menjadi medium untuk mencipta impak positif kepada bumi kita.

Bagi memperkukuhkan kempen tersebut, empat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); SDG 11: Bandar dan Masyarakat Mampan, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, SDG 13: Tindakan Iklim dan SDG 17: Kerjasama untuk Mencapai Matlamat menjadi simbol utama jersi Away skuad Gergasi Merah musim ini.

Simbol di belakang jersi ini menggunakan SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab sebagai salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menekankan kepentingan penggunaan sumber secara bijak dan lebih bertanggungjawab. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Selangor FC di bawah Rancangan Selangor-1 (RS-1) dalam memperkukuh prinsip ekonomi kitaran dan daya tahan iklim.

Warna utama jersi ini ialah Hijau Gelap dan Hijau Terang, dua tona yang membawa makna simbol pertumbuhan pasukan selain mencerminkan semangat serta komitmen untuk melindungi apa yang memberi kehidupan kepada kita semua. Pemilihan warna ini mencerminkan semangat Selangor FC untuk terus bergerak maju sambil mengekalkan komitmen terhadap bumi yang lestari. 

Menurut Dr Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, jersi ini membawa makna yang lebih mendalam, bukan sekadar reka bentuk baharu tetapi melambangkan semangat bahawa setiap individu mampu memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar bersama. Dengan jersi ini, para penyokong bukan sahaja menunjukkan sokongan mereka kepada pasukan tetapi juga terhadap bumi yang kita kongsi bersama.

Selangor FC juga menggalakkan semua penyokong untuk menerapkan gaya hidup lestari antaranya dengan melakukan pengasingan sisa kitar semula, menggalakkan penggunaan bekas makanan sendiri, serta menghantar fabrik terpakai ke tong Kloth Cares yang disediakan di seluruh negeri. Penyumbang pakaian, aksesori pakaian, selipar, kasut, beg, kelengkapan fabrik atau tekstil di rumah, permainan kanak-kanak, lebihan kain atau kain perca boleh disumbangkan di tong-tong kitar semula Kloth Cares terdekat.

Usaha ini membantu mengurangkan sisa buangan yang berakhir di tapak pelupusan, sekali gus menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta penggunaan tenaga dan air dalam proses pengeluaran. Langkah ini seiring dengan aspirasi negara untuk mencapai kadar kitar semula 40 peratus pada tahun 2025 serta matlamat jangka panjang “Zero Landfill 2050”.

Sehubungan dengan itu, Selangor FC akan menyediakan tong kitar semula pakaian di Stadium MBPJ bermula dalam perlawanan SFCKLC pada 26 Oktober ini sebagai sebahagian daripada usaha bersama kelab bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai amalan kitar semula serta menggalakkan penggunaan sumber secara optimum dalam komuniti Selangor FC. Para penyokong juga dialu-alukan untuk menghantar barangan kitar semula sekurang-kurangnya lima barang bagi mendapatkan baucar istimewa atau tiket percuma!

Melalui kempen “From the Pitch to the Planet”, kelab Selangor FC berharap dapat menggerakkan komuniti bola sepak dan rakyat Selangor ke arah masa depan yang lebih bersih, lestari dan berkekalan.

Ini bukan sekadar jersi Away Selangor 2025/26 tetapi simbol cinta terhadap pasukan, negeri dan alam sekitar yang menjadi rumah kepada semua.

Demi Kebanggaan!